Tadau Kaamatan (Bahasa Melayu)
Dikarang oleh Andrea Faith Charlie, Sonia Yashoda Baskaran dan Vesley Junior Villos | Disunting oleh Ivan Avannus Jacob Jimbangan dan Velvette Rozelle Roger | Diterbit untuk Komuhakan Movement
Sebahagian besar daripada identiti sebagai masyarakat Kadazandusun termasuklah menyambut Pesta Kaamatan. Perayaan yang mengambil masa selama sebulan ini amat signifikan dalam proses pemartabatan warisan budaya suku kaum Kadazandusun. ‘Kaamatan’ berasal daripada kata dasar omot dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud menuai padi. Isu penggunaan antara istilah ‘Kaamatan’ atau ‘Kokotuan’ pernah dibangkitkan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun. Walau bagaimanapun, pihak Kadazandusun Cultural Association, atau KDCA telah mengambil kata putus bahawa, istilah yang paling sesuai untuk digunakan ialah ‘Kaamatan’, hal ini demikian kerana, istilah ‘Kokotuan’ lebih difahami sebagai aksi memetik pucuk tumbuh-tumbuhan muda dan bukannya padi.
Sejarah Tadau Kaamatan
Tadau Kaamatan merupakan sebuah tradisi keramat untuk menghormati ikatan antara Sang Pencipta dan makhluk ciptaanNya. Kaamatan bukan sahaja menandakan permulaan musim menuai. Akan tetapi, Tadau Kaamatan sebenarnya dirayakan atas tujuan yang penting; dan terdapat mitos mahupun legenda di sebalik kepentingan merayakan pesta ini. Sejarah Kaamatan berkisar pada legenda Kadazan iaitu Legenda Huminodun. Menurut legenda ini, Ponompuan atau Huminodun merupakan anak perempuan Kinoingan (Tuhan) dan Suminundu. Dia merupakan seorang gadis cantik yang sentiasa berbudi pekerti mulia sepanjang kehidupannya di samping turut mempunyai kebijaksanaan yang dikagumi.
Pada zaman dahulu, Kinoingan dan rakyatnya di bumi hidup dalam keadaan aman damai antara satu sama lain. Namun demikian, Ponompulan, anak lelaki Kinoingan telah memberontak lalu merosakkan pemikiran manusia di bumi. Hal ini meruntuhkan kedamaian yang telah sekian lama terjalin antara Kinoingan dan manusia. Kinoingan yang murka telah bertindak mengusir Ponompulan dan membuangnya ke Kolungkud atau neraka. Untuk membalas perlakuan buruk manusia, Kinoingan telah menghantar tujuh bala. Bala yang terakhir iaitu bala ketujuh merupakan kemarau teruk agar manusia mengalami kebuluran serta kemusnahan.
Tatkala Huminodun melihat kebuluran yang dialami oleh rakyat Kinoingan, dia menyerahkan dirinya sebagai korban agar anggota badannya dapat diubah menjadi makanan. Dikatakan bahawa melalui pengorbanan sucinya, dagingnya menghasilkan padi; kepalanya, buah kelapa; tulangnya, ubi kayu; jari-jemarinya, halia; giginya, jagung; lututnya, keladi manakala bahagian badannya yang lain pula ditukar menjadi beraneka jenis tumbuhan yang boleh dimakan. Hasil daripada pengorbanan Huminodun, hasil tuaian pada tahun tersebut melimpah-ruah.
Sejak peristiwa itu, perkataan Huminodun termaktub dalam bahasa Kadazan dan diertikan sebagai pengorbanan. Roh Huminodun dipercayai menjelma sebagai semangat padi atau Bambaazon. Kaum Kadazan menyambut pesta Kaamatan setiap tahun untuk memberi penghormatan kepada Bambaazon melalui pelbagai upacara agar hasil tuaian pada tahun yang akan datang turut melimpah-ruah. Semangat ini dipercayai bertanggungjawab terhadap perkembangan dan kesuburan tanaman padi serta membantu melindungi padi daripada kerosakan semula jadi seperti haiwan perosak dan banjir. Akan tetapi, kegembiraan Bambaazon hendaklah diberi keutamaan di samping memberikannya makanan yang baik dan memastikan suasana hatinya sentiasa terkawal. Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai ritual, upacara dan sambutan yang harus dilaksanakan. Pesta Kaamatan melibatkan enam peringkat ritual yang dijalankan sebagai tanda kesyukuran kepada Bambaazon (semangat padi). Ritual-ritual yang dimaksudkan lebih tertumpu kepada kaum Kadazandusun yang menetap di kawasan Penampang-Papar. Kaum Dusun dan Murut di kawasan timur mempunyai ritual yang berbeza. Sebagai contoh, kaum Lotud Dusun mempunyai lapan peringkat ritual yakni Mansalud, Monuras, Tumakau, Matang, Mongoi Rumali, Mogimpuun, Sumondod dan Monumbui. Walaupun terdapat perbezaan, ritual-ritual ini mempunyai inti sari yang sama iaitu untuk memberi kesyukuran.
Ritual Yang Dijalankan Semasa Tadau Kaamatan
Ritual yang pertama dikenali sebagai Kumogos. Sebelum proses menuai dijalankan, Bobohizan akan memilih tujuh tangkai padi yang akan ditabur di sekeliling sawah padi. Tangkai padi yang dipilih bersumberkan padi terbaik dari bidang sawah padi yang telah habis dituai. Ritual tersebut bertujuan untuk memaklumkan roh-roh yang menduduki di sawah padi untuk tidak mendatangkan malapetaka kepada pihak pekebun dan penuai yang bekerja di sawah padi. Roh-roh tersebut juga dijanjikan bahawa setiap daripada mereka akan diberi sesuatu selepas musim menuai.
Selepas upacara Kumogos, upacara Kumotob pula dijalankan. Seorang Bobohizan akan memilih tujuh tangkai padi yang terbaik dari kawasan yang belum lagi dituai. Tujuh tangkai padi tersebut kemudiannya akan diikat bersama-sama dan diletakkan di dalam Tadang, iaitu sebuah bakul yang digunakan untuk menyimpan padi. Beras daripada tujuh tangkai padi tersebut akan disimpan untuk ditanam pada musim menuai yang seterusnya.
Upacara Posisip ialah peringkat ritual yang ketiga. Bobohizan akan pergi ke pondok beras bersama-sama dengan tujuh tangkai padi yang telah diikat dan diletakkan di dalam Tadang. Beras daripada padi tersebut akan dimasukkan ke dalam batang buluh yang akan disimpan di dalam Tangkob. Pada masa yang sama, Bobohizan turut akan mengucapkan mantera yang bertujuan memanggil Bambaazon untuk tinggal di dalam beras sehingga musim menuai yang akan datang.
Upacara yang keempat dikenali sebagai upacara Poiib. Bobohizan dengan teliti akan menuangkan beras ke dalam Tangkob yang terletak di dalam pondok beras. Proses ini akan diulangi sehingga semua beras telah dituangkan ke dalam Tangkob. Kemudian, Bobohizan akan mengucapkan mantera untuk merayu kepada semangat padi untuk menjaga beras yang disimpan di dalam Tangkob.
Upacara Magavau iaitu upacara yang kelima merupakan upacara yang paling penting. Magavau melibatkan pemulihan Bambaazon selain penawaran makanan kepada semangat padi ini. Suatu ketika dahulu, ritual tersebut dijalankan di sawah padi pada waktu malam fasa bulan purnama yang pertama. Kini, upacara Magavau dijalankan di rumah pemilik sawah padi.
Peringkat ritual yang terakhir dikenali sebagai upacara Humabot. Upacara ini dijalankan secara meriah dan melibatkan pelbagai jenis hiburan. Humabot dijalankan dari 30hb sehingga 31hb Mei di pelbagai peringkat iaitu peringkat kampung, peringkat daerah dan peringkat negeri. Klimaks upacara Humabot merupakan pemilihan ratu cantik, iaitu Unduk Ngadau yang melambangkan Huminodun. Konklusinya, antara tujuan utama pesta Kaamatan dijalankan adalah untuk menyambut kedatangan Bambaazon ke Tangkob (bekas besar yang digunakan untuk menyimpan beras), untuk memulihkan Bambaazon yang telah hilang akibat kecuaian semasa proses penuaian serta pemprosesan padi melalui ritual Magavau dan juga untuk menawarkan Tapai atau Lihing, sejenis wain yang diperbuat daripada beras, kepada Bambaazon.
Evolusi Tadau Kaamatan
Evolusi Tadau Kaamatan bermula apabila Ketua Anak Negeri Keningau, OKK Sodomon mengusulkan agar festival itu diadakan di peringkat daerah dan negeri pada tahun 1956. Rentetan itu, cadangan tersebut telah dibahaskan dan mendapat persetujuan daripada kerajaan tempatan. Lantaran itu, 24, 25 dan 26 April setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti umum bagi mereka yang menyambut perayaan Kaamatan. Majoriti daripada mereka yang menyambut Kaamatan pada masa itu terdiri daripada kaum Kadazandusun dan Murut.
Namun begitu, Tun Fuad Stephens mencadangkan bahawa cuti bagi Tadau Kaamatan seharusnya tidak hanya terhad kepada kaum Kadazandusun dan Murut. Semua penduduk asal Sabah juga perlu diberi cuti umum ini kerana beliau memohon agar penduduk asal “yang menggunakan bumi Sabah yang baik untuk menghasilkan makanan” harus merayakan pesta ini bersama. Pelbagai kumpulan etnik Kadazandusun menyatakan bahawa mereka berasa gembira kerana dapat merayakan festival ini dengan penduduk asal lain yang terdapat di seluruh Sabah.
Perayaan Kaamatan peringkat negeri yang pertama pada tahun 1960 telah diadakan di Sekolah St. Michael yang lama di Penampang. Cuti umum negeri selama dua hari itu adalah kali pertama pemimpin negeri dan masyarakat dari berbagai-bagai daerah berkumpul untuk merayakan Kaamatan. Tiga kerbau telah disembelih untuk diberi makan kepada orang ramai dan ratusan balang tapai mengalir terus. Kemuncak perayaan termasuk Unduk Ngadau, pertandingan pakaian tradisional penatua, sukan tradisional dan pertandingan bola sepak.
Perayaan Kaamatan ini amat signifikan dalam menyatukan populasi etnik di Sabah kerana hal ini telah membuka jalan bagi Persatuan Kadazan Penampang untuk berubah menjadi Persatuan Kebudayaan Kadazan (KCA) yang kini dikenali sebagai Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA). Keahlian persatuan ini dibuka kepada kaum Dusun, Murut, Rungus, Paitan dan kumpulan etnik yang lain.
Hari ini, festival Kaamatan di seluruh negeri disambut setiap tahun di bawah Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 30 dan 31 Mei. Bulan perayaan ini dilancarkan pada 1 Mei setiap tahun untuk menandakan permulaan perayaan peringkat kampung dan daerah. Acara tahunan ini adalah ledakan budaya dan keindahan apabila orang-orang dari semua latar belakang etnik berkumpul melalui lagu, tarian, sukan dan persembahan tradisional, pertunjukan budaya, penjualan seni, pameran produk pertanian dan pertandingan seni bina dan bangunan.
Acara Kebudayaan semasa Kaamatan
Unduk Ngadau dan Sugandoi
Salah satu daripada acara utama Kaamatan ialah Unduk Ngadau (Pertandingan Ratu Cantik) yang diadakan pada 31 Mei setiap tahun. Hongkod Koisaan (Dewan KDCA) biasanya akan dibanjiri oleh ramai orang yang berhasrat untuk menonton pertandingan ini. Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau menarik perhatian peserta dari daerah dan mukim berbeza untuk mencari gadis yang paling menyerupai Huminodun sebagai tanda penghormatan atas pengorbanannya. Selain daripada Unduk Ngadau, Sugandoi (pertandingan menyanyi) juga merupakan salah satu kemuncak yang dinanti-nantikan. Pertandingan ini dikategorikan mengikut umur para peserta iaitu Sugandoi Dazanak (kanak-kanak), Sugandoi Remaja (remaja), Sugandoi Dewasa (dewasa) dan Sugandoi Songkotoun (veteran). Permainan tradisional turut diadakan pada waktu Kaamatan. Permainan tradisional tersebut merangkumi permainan kegemaran lama seperti Migayat Lukug (tarik tali) dan gusti lengan serta permainan yang jarang dimainkan seperti Mipulos (gusti buku jari) dan Rampanau (berjalan menggunakan buluh).
Makanan Tradisional
Pesta Kaamatan di Sabah menawarkan pelbagai jenis makanan yang telah diwariskan secara turun-temurun. Satu contoh hidangan yang terkenal ialah Hinava; sejenis ikan mentah yang memiliki persamaan dengan makanan Jepun iaitu sashimi. Penduduk kampung biasanya akan memerap ikan tersebut dalam jus limau untuk membunuh bakteria serta memberi ikan rasa yang lazat. Makanan tradisional yang lain termasuklah Bambangan (mangga liar), Butod (ulat sagu), Tuhau (sejenis tumbuhan dari famili halia) dan Pinasakan (hidangan ikan).
Produk yang terhasil daripada beras iaitu wain beras atau lebih dikenali sebagai lihing atau tapai oleh penduduk tempatan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan aura sambutan pesta Kaamatan. Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuklah pertandingan meminum wain beras. Lihing atau tapai dibuat melalui proses penapaian beras yang disimpan dalam balang tanah liat atau tajau.
Secara Asasnya
Tadau Kaamatan merupakan aspek yang penting dalam komuniti Kadazandusun. Ritual dan amalan yang menjadi sebahagian daripada festival memainkan peranan paling penting dan begitu dominan untuk terus membentuk identiti teras masyarakat Kadazandusun di Sabah. Oleh sebab kaum Kadazandusun terus mengalami pemodenan dalam semua aspek kehidupan mereka, maka sangat penting bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah untuk terus menjaga dan memartabat tradisi kuno ini supaya tradisi ini akan kekal hidup dalam semua kegemilangan budayanya.
Original article: https://medium.com/@komuhakan/tadau-kaamatan-7b63a27b6030
Kadazan translation: https://medium.com/@komuhakan/tadau-kaamatan-kadazan-8e12ccd9da67